MY ROSEBUD
Rosebud bermakna putik bunga rose atau gadis cantik. Kedua-duanya manusia suka. Bunga rose selain cantik, ia juga harum. Begitulah juga gadis cantik, diharapkan juga mulia akhlaknya. Kalau tak cantik wajahnya tapi baik akhlaknya, itupun sudah menghiburkan.
Jumaat, 20 November 2015
TERBALASKAH JASA IBU?
MENDIDIK ANAK IBARAT MENANAM POKOK
Orang tua sering mengeluh tentang perangai anak-anak atau generasi muda. Guru-guru berkeluh kesah tentang anak-anak murid bekas-bekas murid mereka. Bekas pemimpin negara tak puas hati dengan kepimpinan baru dan bergaduh dengan pemimpin yang sedang berkuasa. Entah sedar atau tidak, sebenarnya mereka seperti menepuk air di dulang, terpercik ke muka sendiri. Mengapa? Kerana anak-anak, murid-murid dan pemimpin baru itu sebenarnya adalah buah didikan dari orang tua, guru dan bekas pemimpin itu sendiri. Kalau pendidikan itu ibarat proses menanam pokok, maka perangai generasi muda itu adalah buah dari didikan itu.
Oleh itu marilah kita menyedari dan meneliti apa kesilapan yang telah dibuat dalam mendidik generasi ini. Menyalahkan saja bukanlah penyelesaian, malah mungkin akan memperburuk keadaan. Mana yang terlajak kita taubatkan. Semoga Allah ampunkan kesalahan dalam mendidik itu dan Allah perbetulkan hasil yang telah rosak itu. Sebab hal pendidikan ini sangat rapat dengan rohani manusia. Hanya dan hanya Allah sahajalah yang mampu membaiki rohani manusia.
Biar dah terlajak, dah terlambat, baiklah kita mulakan sesuatu yang baru. Dengan penuh rasa bersalah kita perbaiki sistem pendidikan kita. Bukan pada orang lain, bukan pada pendidikan rasmi kita tuding jari, tapi kita mulakan dari diri sendiri, anak sendiri, generasi sendiri. Yang dekat-dekat dulu, yang kecil-kecil, yang nampak remeh temeh tapi yang mampu dibuat.
Banyak cara mendidik manusia. Tidak semestinya hanya dengan sistem formal di institusi pendidikan dengan silibus, kurikulum dan kokurikulum tertulis dan tertentu. Kehidupan ini sebenarnya sebuah institusi pendidikan yang sangat luas dan berkesan. Dalam setiap aktifiti kehidupan ini tersimpan hikmah pendidikan, baik kita sedari atau tidak. Namun, jika tidak disedari dan tidak diambil hikmahnya, maka berlalulah begitu atau kesannya sedikit saja. Mungkin hikmah pendidikannya tidak dapat difokuskan atau diberi penekanan yang sewajarnya. Sepertilah setiap hari kita melihat matahari, kalau tidak dijelaskan bahawa matahari itu ciptaan Allah yang dianugerahkan kepada kita, maka kita tidak tahu dan tidak bersyukur. Apatah lagi hendak mendapat rasa bertuhan dan bersifat kehambaan kepada Allah.
Salah satu erti mendidik ialah membentuk sifat-sifat baik atau mahmudah, seperti sabar, redha, tawakal, qanaah, ikhlas, adil, berkasih sayang, memberi maaf, dan lain-lain. Jika itu berlaku, maka secara automatik sifat-sifat keji atau jahat akan hilang. Kerana, baik dan jahat itu adalah sifat berlawanan yang tidak mungkin berdampingan pada seseorang dalam masa yang sama.
Mari kita lihat beberapa aktifiti sehari-hari yang sepatutnya kita programkan dengan serius, iaitu dengan benar-benar mengikut disiplin dan mengambil manfaat pendidikan daripadanya. InsyaAllah secara bersiri kita kaji dan teliti bersama apa yang dapat kita lakukan.
Khamis, 19 November 2015
ROSEBUD
Rosebud bermakna putik bunga rose atau gadis cantik. Kedua-duanya manusia suka. Bunga rose selain cantik, ia juga harum. Begitulah juga gadis cantik, diharapkan juga mulia akhlaknya. Kalau tak cantik wajahnya tapi baik akhlaknya, itupun sudah menghiburkan.
Jarang sekali terlahir wanita cantik dan berakhlak mulia. Selalunya wanita cantik diberi mazmumah sombong, bangga dan ujub dengan kecantikannya. Itulah keadilan Allah. Bukan nak buat wanita cantik itu sombong, tapi nak suruh dia bermujahadah melawan sifat sombongnya itu. Jika ia berjaya, maka jadilah wanita cantik yang berakhlak mulia.
Bukan mustahil, kerana ramai wanita cantik dalam sejarah yang telah mendapatkannya. Siti Asiah isteri Firaun, cantik dan bertaqwa. Sekalipun suaminya adalah musuh Allah, namun dia berjaya berjuang membela kebenaran dari Allah dengan menyelamatkan Nabi Musa as sebagai anak angkatnya. Kecantikan diri dan akhlaknya digunakan untuk memujuk suaminya agar tidak membunuh Nabi Musa as.
AKHLAK BUNGA DIRI
Akhlak ialah bunga diri
Indah di lihat oleh mata
Senang di rasa oleh hati
Setiap orang Jatuh Hati
Akhlak nilai diri manusia
Modal hidup di mana mana
Ke mana pergi orang suka
Banyak kenalan murah rizki
Siapa yang berakhlak tinggi
Ke mana pergi orang suka
Ia di sukai dan dipercayai
Kawan banyak di mana mana
Orang yang tiada akhlak
Harta banyak tiada nilai nya
Wajah nya yang cantik hilang serinya
Berpangkat tinggi pun orang benci
Sebaik baik manusia
Yang tinggi akhlaknya
Karena di sukai Allah
Dan juga rosul-Nya
Di senangi manusia seluruhnya
Akhlak mulia ibarat bunga
