Jumaat, 20 November 2015

MENDIDIK ANAK IBARAT MENANAM POKOK

Orang tua sering mengeluh tentang perangai anak-anak atau generasi muda. Guru-guru berkeluh kesah tentang anak-anak murid bekas-bekas murid mereka.    Bekas pemimpin negara tak puas hati dengan kepimpinan baru dan bergaduh dengan pemimpin yang sedang berkuasa.  Entah sedar atau tidak, sebenarnya mereka seperti menepuk air di dulang, terpercik ke muka sendiri.  Mengapa? Kerana anak-anak, murid-murid dan pemimpin baru itu sebenarnya adalah buah didikan dari orang tua, guru dan bekas pemimpin itu sendiri.  Kalau pendidikan itu ibarat proses menanam pokok, maka perangai generasi muda itu adalah buah dari didikan itu.

Oleh itu marilah kita menyedari dan meneliti apa kesilapan yang telah dibuat dalam mendidik generasi ini.  Menyalahkan saja bukanlah penyelesaian, malah mungkin akan memperburuk keadaan.  Mana yang terlajak kita taubatkan.  Semoga Allah ampunkan kesalahan dalam mendidik itu dan Allah perbetulkan hasil yang telah rosak itu. Sebab hal pendidikan ini sangat rapat dengan rohani manusia.  Hanya dan hanya Allah sahajalah yang mampu membaiki rohani manusia.

Biar dah terlajak, dah terlambat, baiklah kita mulakan sesuatu yang baru.  Dengan penuh rasa bersalah kita perbaiki sistem pendidikan kita.  Bukan pada orang lain, bukan pada pendidikan rasmi kita tuding jari, tapi kita mulakan dari diri sendiri, anak sendiri, generasi sendiri.  Yang dekat-dekat dulu, yang kecil-kecil, yang nampak remeh temeh tapi yang mampu dibuat.

Banyak cara mendidik manusia.  Tidak semestinya hanya dengan sistem formal di institusi pendidikan dengan silibus, kurikulum dan kokurikulum tertulis dan tertentu.  Kehidupan ini sebenarnya sebuah institusi pendidikan yang sangat luas dan berkesan. Dalam setiap aktifiti kehidupan ini  tersimpan hikmah pendidikan, baik kita sedari atau tidak.   Namun, jika tidak disedari dan tidak diambil hikmahnya, maka berlalulah begitu atau kesannya sedikit saja.  Mungkin hikmah pendidikannya tidak dapat difokuskan atau diberi penekanan yang sewajarnya.  Sepertilah setiap hari kita melihat matahari, kalau tidak dijelaskan bahawa matahari itu ciptaan Allah yang dianugerahkan kepada kita, maka kita tidak tahu dan tidak bersyukur. Apatah lagi hendak mendapat rasa bertuhan dan bersifat kehambaan kepada Allah.

Salah satu erti mendidik ialah membentuk sifat-sifat baik atau mahmudah, seperti sabar, redha, tawakal, qanaah, ikhlas, adil, berkasih sayang, memberi maaf, dan lain-lain.  Jika itu berlaku, maka secara automatik sifat-sifat keji atau jahat akan hilang.  Kerana, baik dan jahat itu adalah sifat berlawanan yang tidak mungkin berdampingan pada seseorang dalam masa yang sama.

Mari kita lihat beberapa aktifiti sehari-hari yang sepatutnya kita programkan dengan serius, iaitu dengan benar-benar mengikut disiplin dan mengambil manfaat pendidikan daripadanya. InsyaAllah secara bersiri kita kaji dan teliti bersama apa yang dapat kita lakukan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan